| Jerantut,
1 April - Seorang anggota polis cedera setelah dilibas dengan parang
oleh pemuda yang hendak diberkasnya dalam kejadian di sebuah rumah di
Felda Kota Gelanggi Dua, di sini semalam. Ketua
Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata dalam kejadian 11.30
pagi itu, suspek berusia 24 tahun yang disenaraikan sebagai orang
dikehendaki bertindak agresif melibas parang setelah menyedari kehadiran
sepasukan polis di rumahnya. "Berikutan
kejadian itu Koperal Ahmad Irwan Benjamin, 31, cedera di bahagian
lengan kiri akibat terkena libasan parang tersebut selain luka di kaki
kiri dan lebam di lengan kanannya," katanya dalam sidang media di sini
hari ini. Beliau
berkata mangsa bersama enam lagi anggota polis ke rumah suspek untuk
menahan lelaki itu atas kesalahan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun
Keseksaan kerana pernah mengugut untuk membunuh ibunya pada tahun lepas.
Bagaimanapun
semasa memperkenalkan diri, suspek tiba-tiba bertindak agresif lalu
mencapai parang dan melibas anggota terbabit ketika sebelum berjaya
ditahan sejurus selepas kejadian. Beliau
berkata hasil pemeriksaan di dalam bilik suspek, polis menemui sebilah
pisau buatan sendiri, sebilah kerambit dan tiga bilah parang panjang. Selain itu katanya polis juga merampas satu tiub straw warna merah yang disyaki mengandungi dadah jenis heroin. "Suspek
kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan
lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh,"
katanya menambah anggota polis yang cedera dirawat di Hospital Jerantut.
Sumber : BERNAMA |