| Johor
Baharu, 24 April - Perkhidmatan kecemasan menerusi aplikasi 'SaveME
999', yang sebelum ini diperkenalkan untuk Orang Kurang Upaya (OKU)
dijangka akan diperluaskan kepada orang ramai, Jun depan. Pengarah
Jabatan Logistik Polis Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata
kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah bersetuju
untuk memperluaskan aplikasi percuma itu yang bermatlamat supaya hanya
satu sistem digunakan di seluruh negara bagi pengurusan panggilan
kecemasan. "Di
Johor ada menggunakan aplikasi 'Community Alerts' manakala Selangor ada
menggunakan aplikasi 'My Distress'. Jadi, sekarang ini kita mahu hanya
penggunaan satu 'butang kecemasan' yang seragam di seluruh negara bagi
pengurusan panggilan kecemasan," katanya kepada pemberita selepas
melawat Balai Polis Larkin, di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff. Zulkifli
berkata perbincangan lanjut mengenai perluasan aplikasi itu sedang
dilakukan dan diharapkan ia dapat membantu pasukan polis meningkatkan
kecekapan penugasan kepada orang ramai. Sementara
itu, Zulkifli berkata polis bersama pihak swasta akan meneliti
penambahbaikan dalam penggunaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi
memudahkan pemantauan sekali gus mengurangkan beban tugas anggota
pasukan. Beliau
berkata melalui kemudahan CCTV dengan teknologi terkini seperti tidak
perlu diawasi sepanjang masa dan mampu memberi amaran awal kepada
anggota polis difikirkan amat penting dalam meningkatkan pengawasan. Menurut
Zulkifli sejumlah enam bot RHFB juga akan ditambah awal bulan depan
bagi mengukuhkan kedudukan polis dalam mengawasi perairan Sabah. "Sebanyak
lima bot jenis yang sama sudah diserahkan Ogos tahun lepas untuk
meningkatkan keupayaan kawasan keselamatan di Sabah dan hari ini saya
sudah menyaksikan ujian laut terhadap enam bot lagi yang kita jangkakan
akan diserahkan selewat-lewatnya awal Mei ini," katanya. Mengenai
lawatan hari ini, Zulkifli berkata kerajaan sudah bersetuju untuk
membina Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baharu Selatan dan IPD
Nusajaya yang baharu dalam masa terdekat. Beliau
berkata IPD Johor Baharu Selatan yang akan dibangunkan bersama Balai
Polis Larkin yang baharu dijangka menelan kos RM85 juta manakala IPD
Nusajaya sebanyak RM109 juta. Katanya
IPD Johor Baharu Selatan memerlukan bangunan baharu bagi menggantikan
bangunan lama di pusat bandar yang sudah uzur manakala IPD Nusajaya pula
memerlukan bangunan yang lebih sesuai bagi menggantikan operasi ketika
ini di bangunan rumah kedai. Sumber : BERNAMA |