Menu

Cubaan Seludup Minyak Diesel Digagalkan PPM

Langkawi, 14 Feb- Dalam usaha mengekang penyeludupan minyak diesel bersubsidi, Pasukan Polis Marin (PPM) melalui Operasi Landai sekali lagi melakar kejayaan apabila berjaya menumpaskan cubaan menyeludup minyak diesel bersubsidi di Kuala Kedah petang tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Langkawi, ASP Rodzi Abu Hasan berkata pihaknya telah melakukan serbuan ke atas sebuah pelantar ikan tidak bernama di Kampung Sematang Pinang dan dalam operasi yang dijalankan telah menahan sebuah bot nelayan serta lori yang sedang memindahkan minyak diesel dari bot tersebut.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lebih kurang 4 ribu liter minyak diesel di dalam tangki lori tersebut yang dianggarkan bernilai RM 8 ribu".

"Minyak diesel tersebut dipercayai minyak diesel subsidi nelayan yang dibeli secara runcit dan dikumpul sebelum dipindah ke lori untuk diseludup ke Thailand", katanya lagi.

Pihak polis telah merampas bot dan lori terbabit dan turut menahan dua lelaki tempatan dipercayai pemilik lori dan bot yang dirampas masing-masing berumur 27 tahun dan 31 tahun.

Kedua- dua suspek dan barang rampasan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta ditahan untuk siasatan lanjut.

ASP Rodzi mengingatkan masyarakat setempat supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan minyak diesel malah pihaknya sentiasa memantau aktiviti-aktiviti nelayan khususnya penyelewengan minyak bersubsidi.


Sumber : Pasukan Polis Marin Langkawi

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS