| Kulaijaya,
8 Mac - Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita bersama 54 gram
syabu bernilai RM13,500 di Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, Khamis
lepas. Ketua
Polis Daerah Kulaijaya Supt Ruslan Khalid berkata ketiga-tiga mereka
yang berumur 20 hingga 50 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya dan Unit Peronda Lebuhraya
Plaza Tol Kempas pukul 9 pagi. "Kesemua
mereka menaiki sebuah kereta Nissan Sentra yang dipandu seorang lelaki
ketika ditahan polis. Pemandu terbabit, bagaimanapun, gagal ditahan
polis kerana melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ruslan
berkata pemeriksaan ke atas kereta terbabit kemudian menemui dua paket
plastik lutsinar yang mengandungi syabu berkenaan yang dipercayai mampu
dibekalkan kepada 110 orang. Beliau
berkata ujian air kencing mendapati kedua-dua lelaki dan wanita itu
positif methamphetamine dan mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut. Dalam
kes lain, Ruslan berkata polis dapat menyelesaikan 30 kes berhubung
kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan diri warga asing selepas menahan
seorang lelaki rakyat Pakistan selepas menyerbu sebuah kilang di Kawasan
Perindustrian Senai, Khamis lepas. Dalam
operasi khas bersepadu bersama Jabatan Imigresen itu, polis turut
merampas 33 pasport dan permit kerja yang sudah diubah suai bersama
telefon bimbit, komputer riba, alat pengimbas dan beg. Lelaki
berumur 31 tahun itu didapati menetap di negara ini sejak dua tahun
lepas dan tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah. Suspek kini
ditahan untuk siasatan.
Sumber : BERNAMA |