| Tangkak,
16 Feb - Sekumpulan empat sekawan yang memecah masuk bengkel kereta dan
melarikan pelbagai peralatan termasuk 50 botol minyak pelincir bernilai
RM46,000, ditahan dalam Ops Cantas di Jalan Payamas di sini Khamis
lepas. Ketua
Polis Daerah Ledang Supt Mohamad Salleh Abd Razak berkata mereka
diberkas di hadapan sebuah kedai di jalan itu pada kira-kira 6 petang. Hasil
siasatan, katanya polis menemui semula beberapa barang curi iaitu empat
botol minyak hitam, tiga buah bateri berjenama, tiga pembuka skru
angin, satu set penebuk lubang dan satu set alat pengimbas digital untuk
mengesan kerosakan kenderaan. "Kita
percaya barangan lain yang dilarikan dari bengkel tersebut yang dipecah
masuk pada 7 Februari lalu sudah dijual," katanya dalam sidang akhbar
di sini hari ini. Polis masih menyiasat bagi mengesan pihak yang membeli barangan berkenaan, katanya. Mohamad Salleh berkata tiga daripada suspek berasal dari Tangkak manakala seorang dari Hulu Beranang, Negeri Sembilan. Suspek
berusia 30 tahun mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan kes curi,
suspek 45 tahun mempunyai enam rekod berkaitan dadah dan dikehendaki
polis, suspek 43 tahun mempunyai dua rekod berkaitan dadah dan curi
motosikal di Kajang, Selangor manakala suspek 26 tahun mempunyai satu rekod jenayah, katanya. Beliau
berkata ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka
positif dadah dan kesemuanya direman sehingga 20 Feb untuk siasatan. Sumber : BERNAMA |