| Klang,
18 Mac - Polis menahan enam suspek dalam tiga tangkapan berasingan dan
membebaskan tiga warga asing dipercayai mangsa culik yang ditemui di
sebuah hotel di sini semalam. Ketua
Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Shukor Sulong berkata enam suspek
berumur antara 21 hingga 37 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan
seorang wanita rakyat tempatan, seorang warga Myanmar dan seorang warga
Bangladesh. Beliau
berkata bertindak atas maklumat dua lelaki warga tempatan ditahan di
Klang Perdana dan suspek wanita itu ditahan di Jalan Taiping di sini
pukul 5 petang semalam. Susulan
tangkapan itu, pihaknya kemudian melakukan serbuan ke sebuah hotel di
sini dan menahan tiga lagi lelaki terdiri daripada seorang warga
tempatan, seorang warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh pada hari
yang sama, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Beliau
berkata turut ditemui dalam hotel bersama suspek adalah tiga lelaki
mangsa culik iaitu dua warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar
berusia antara 20 hingga 40 tahun dalam keadaan tangan terikat dan mata
ditutup rapat. Seorang
daripada mangsa adalah pekerja Pasar Borong Jalan Meru di sini
sementara kedua-kedua lelaki adalah pelanggan yang dilarikan dari pasar
borong itu pada pukul 4 pagi Ahad lepas oleh suspek-suspek yang
mengenalkan diri mereka sebagai polis, katanya. |