| Melaka,
14 Feb - Sebanyak 10 anggota Geng Pak Rasid yang terdiri daripada enam
lelaki dan empat wanita yang dipercayai terlibat dalam jenayah samun dan
mencuri motosikal di sekitar Melaka Tengah sejak awal tahun ini ditahan
semalam. Ketua
Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata mereka
yang berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan di lima lokasi berasingan
dalam operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah
Melaka Tengah selama 14 jam bermula 6 pagi. Beliau
berkata tangkapan pertama melibatkan dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun
sebaik mereka keluar dari sebuah restoran di Taman Melaka Raya
kira-kira pukul 6 pagi dan mahu menaiki motosikal. "Hasil
siasatan mendapati kedua-dua motosikal tersebut merupakan motosikal
curi," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis
Daerah Melaka Tengah hari ini. Susulan penahanan itu, polis memberkas pula seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai ketua geng terbabit di sebuah rumah di Kota Laksamana kira-kira pukul 7 pagi. Salehhudin
berkata siasatan awal mendapati ketua geng itu yang dikenali sebagai
Rasid mempunyai empat rekod jenayah lampau masing-masing melibatkan dua
kes samun dan kes dadah. Beliau
berkata ia disusuli tangkapan ketiga melibatkan seorang wanita berusia
25 tahun bersama beberapa barang rampasan termasuk dua pucuk pistol
palsu di sebuah bilik hotel bajet di kawasan sama pada tengah hari. Katanya
tangkapan ke empat pula melibatkan seorang lelaki dan wanita
masing-masing berusia 20 dan 24 tahun yang turut memiliki sebilah pedang
panjang berukuran 27 sentimeter di sebuah hotel bajet di Ujong Pasir
pada 3 petang. "Tangkapan
terakhir pula melibatkan dua wanita dan dua lelaki berusia antara 24
hingga 30 tahun di sebuah rumah teres di Bukit Katil kira-kira pukul 4
petang," katanya. Beliau
berkata secara keseluruhan polis turut berjaya merampas lapan motosial
curi, enam beg tangan pelbagai jenama dipercayai milik mangsa ragut,
sebuah komputer riba dan seutas jam tangan di lokasi penahanan kesemua
suspek. Salehhudin
berkata siasatan lanjut mendapati geng terbabit dipercayai terlibat
dalam lapan kes curi motosikal dan 12 kes samun bermula awal tahun ini
selain positif dadah jenis methamphetamine. Semua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata, katanya.
Sumber : BERNAMA |