| Kuala
Lumpur, 5 Mac - Polis Kontinjen Kuala Lumpur merekodkan penurunan kadar
jenayah indeks sebanyak 3.3 peratus tahun lepas iaitu sebanyak 23,755
kes berbanding tahun sebelumnya sebanyak 24,572 kes. Ketua
Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata statistik yang
membabitkan penurunan sebanyak 399 kes itu merupakan hasil daripada
perancangan pencegahan jenayah yang tepat dan kerjasama dengan badan
bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat. "Saya
berharap agar semua ketua polis daerah dan warga polis Kuala Lumpur
akan terus meningkatkan usaha bagi memastikan kejayaan yang lebih baik
pada masa akan datang khususnya tahun 2014. "Bersempena
dengan Tahun Melawat Malaysia tahun ini, pelbagai kempen, promosi dan
aktiviti telah dan akan diadakan. Sebagai pegawai dan anggota polis yang
amat penting adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan para
pelancong," katanya semasa perhimpunan bulanan kontinjen Kuala Lumpur
di sini hari ini. Beliau
berkata penugasan polis trafik juga adalah perlu untuk memastikan kerja
pembangunan yang sedang dijalankan termasuk pembinaan MRT tidak
mengganggu lalu lintas dan keselesaan pelancong yang berkunjung ke
Bandaraya Kuala Lumpur.
Mohmad
turut memberikan saranan kepada ketua jabatan dan ketua polis daerah
agar melancarkan operasi khusus di samping menjalinkan kerjasama erat
dengan komuniti setempat. "Dalam
konsep total policing, koloborasi dengan agensi lain turut diutamakan
seperti kerjasama yang dijalinkan dengan pihak Petron Malaysia bagi
kempen 1Aman Go to Safety Point, kerjasama dengan Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur. "Saya
percaya kerjasama seperti ini akan menghasilkan impak yang lebih besar
daripada kita bekerja sendirian dan saya yakin masyarakat akan melihat
secara positif apabila institusi kerajaan, swasta mahupun NGO dapat
bekerja sebagai satu pasukan dan mendorong masyarakat membantu usaha
pihak polis dalam mengurangkan jenayah,” katanya. Pada
majlis itu beliau turut melepaskan Unit Rondaan Bermotosikal (URB)
Polis Kontinjen Kuala Lumpur sempena penambahan sebanyak 51 unit
motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 (STD) bagi kontinjen berkenaan
menjadikan jumlah keseluruhan 196 buah. Mohmad
berkata penambahan itu turut membabitkan peluasan kawasan rondaan ke
lokasi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
Sumber : BERNAMA |