Menu

INDEKS JENAYAH KUALA LUMPUR TURUN 3.3 PERATUS TAHUN LEPAS

Kuala Lumpur, 5 Mac - Polis Kontinjen Kuala Lumpur merekodkan penurunan kadar jenayah indeks sebanyak 3.3 peratus tahun lepas iaitu sebanyak 23,755 kes berbanding tahun sebelumnya sebanyak 24,572 kes.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata statistik yang membabitkan penurunan sebanyak 399 kes itu merupakan hasil daripada perancangan pencegahan jenayah yang tepat dan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat.

“Saya berharap agar semua ketua polis daerah dan warga polis Kuala Lumpur akan terus meningkatkan usaha bagi memastikan kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang khususnya tahun 2014.

“Bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia tahun ini, pelbagai kempen, promosi dan aktiviti telah dan akan diadakan. Sebagai pegawai dan anggota polis yang amat penting adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan para pelancong,” katanya semasa perhimpunan bulanan kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata penugasan polis trafik juga adalah perlu untuk memastikan kerja pembangunan yang sedang dijalankan termasuk pembinaan MRT tidak mengganggu lalu lintas dan keselesaan pelancong yang berkunjung ke Bandaraya Kuala Lumpur.

Mohmad turut memberikan saranan kepada ketua jabatan dan ketua polis daerah agar melancarkan operasi khusus di samping menjalinkan kerjasama erat dengan komuniti setempat.

“Dalam konsep total policing, koloborasi dengan agensi lain turut diutamakan seperti kerjasama yang dijalinkan dengan pihak Petron Malaysia bagi kempen 1Aman Go to Safety Point, kerjasama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Saya percaya kerjasama seperti ini akan menghasilkan impak yang lebih besar daripada kita bekerja sendirian dan saya yakin masyarakat akan melihat secara positif apabila institusi kerajaan, swasta mahupun NGO dapat bekerja sebagai satu pasukan dan mendorong masyarakat membantu usaha pihak polis dalam mengurangkan jenayah,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut melepaskan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Kontinjen Kuala Lumpur sempena penambahan sebanyak 51 unit motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 (STD) bagi kontinjen berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan 196 buah.

Mohmad berkata penambahan itu turut membabitkan peluasan kawasan rondaan ke lokasi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Sumber: BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS