| Labuan,
5 April - Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan Program Strategi Lautan Biru
Kebangsaan ke-8 (NBOS-8) memberi dimensi baharu dalam kerjasama
kedua-dua pihak menjaga keselamatan Labuan. Anggota
Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata kejayaan pelaksanaan NBOS
ke-8 juga memberi perakuan bahawa polis dan tentera boleh menjadi satu
entiti dalam tugas menjaga keselamatan di pulau bebas cukai itu. Beliau
berkata menerusi program NBOS itu, pasukan keselamatan mampu
mempertingkat keberkesanan komunikasi dan memupuk semangat perpaduan
kedua-dua pihak. "Kejayaan
inisiatif bersama ini turut memperlihatkan keharmonian di sini terus
terpelihara. Perkara utama ialah memastikan masyarakat di pulau ini
dapat hidup dalam keadaan aman damai tanpa dibelenggu ancaman," katanya
ketika merasmikan Sambutan Hari Terbuka PDRM dan ATM di bawah NBOS-8
hari ini. Turut
hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, Panglima 2 Divisyen
Udara (TUDM) Mejar Jeneral Datuk Ansar Ali Mejetih dan Ketua Polis
Daerah Labuan Superintenden Adzhar Othman. Rozman
juga berkata susulan pelaksanaan NBOS sejak 2011, indeks jenayah
seluruh negara merekodkan penurunan, termasuk di kawasan rondaan bersama
PDRM dan ATM. Beliau
berkata pada 2011, kes jenayah menurun kepada 20,406 berbanding 23,932
bagi tahun 2010 dan bagi tahun 2013 pula, kes jenayah yang dilapor ialah
16,478 kes berbanding 18,809 pada 2012. Sumber : BERNAMA |