| Tawau,
20 Feb - Pertemuan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau bersama Polisi
Perairan Indonesia (POLAIR) yang diadakan di perairan persempadanan
Malaysia/Indonesia-Laut Tanjung Saima, di sini pada 17 Februari lalu
dijangka dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh kedua-dua
pihak sekaligus dapat membanteras aktiviti jenayah di perairan negara
masing-masing. Menurut
Komander PPM Wilayah Empat, ACP Mohamad Madun, delegasi PPM yang
diketuai oleh Inspektor Mohd Puad Osman telah menyampaikan permasalahan
berkaitan aktiviti penyeludupan keluar syabu dan baja amonium nitrat ke
Indonesia dan penyeludupan masuk rokok ke Tawau. AKBP
Harun Rosyid selaku ketua delegasi POLAIR turut menyampaikan beberapa
permasalahan yang dihadapi oleh pihak berkuasa Indonesia antaranya
aktiviti penyeludupan syabu secara berperingkat ke Indonesia, kes
kecurian dan rompakan di laut, serta penyeludupan barang dari Tawau ke
Indonesia yang sukar dikesan perlu di'scan' di pintu masuk pemeriksaan
di Nunukan, Indonesia. "POLAIR
juga meminta supaya pihak berkuasa Malaysia dapat membenarkan warga
Indonesia yang bekerja di Sabah dapat pulang ke negara asal untuk
bercuti hanya menggunakan surat akuan cuti. "Mereka
turut mencadangkan supaya operasi mencari dan menyelamat dijalankan
bersama jika berlaku sesuatu kejadian di kawasan sempadan kedua-dua
negara", jelas Mohamad lagi. Sebelum
berakhir, POLAIR turut menyerahkan satu salinan orang dikehendaki bagi
mendapatkan bantuan PPM mengesan individu berkenaan berhubung kes syabu
yang dilaporkan di Sungai Nyamuk, lndonesia.  Sumber : Pasukan Polis Marin Tawau, Sabah |