| Johor
Baharu, 20 Mac - Polis Daerah Seri Alam menemui 3,900 butir peluru
kosong di sebuah kedai menjual barangan lusuh di Ulu Tiram Selasa lalu. Dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia antara 15 dan 39 tahun turut ditahan di premis itu dalam Ops Cantas. "Kita
akan menyiasat dari mana mereka memperoleh peluru itu dan untuk apa ia
akan digunakan," kata Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff
pada sidang media di sini hari ini. Peluru jenis SME 5.56mm itu adalah untuk kegunaan raifal dan di negara ini ia biasa digunakan untuk senjata M16. Beliau
berkata walaupun peluru itu adalah peluru kosong, tetapi jika diubah
dengan diisikan dengan bebola besi, ia boleh mendatangkan kecederaan
atau kematian. Polis juga menemui kabel telekomunikasi berkelajuan tinggi jenis PRS 0.5mm sepanjang 25 meter yang dipercayai dicuri. Mokhtar berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki peluru tanpa lesen. Mereka
yang ditahan itu turut disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga
Sekendhend 1946 kerana tidak memiliki lesen perniagaan barangan lusuh
manakala warga asing itu disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta
Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah. 
Sumber : BERNAMA
Foto : HEA Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor |