| Setiu,
28 Jan- Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah diberkas bersama-sama
131 botol serbuk putih disyaki heroin dan 4,000 biji pil kuda bernilai
kira-kira RM200,000.
Ketua
Polis Daerah Setiu DSP Ab Rahman Raja Mohamad berkata lelaki berusia 27
tahun itu ditahan di Kampung Nyatoh di sini kira-kira pukul 4 petang
semalam.
Katanya
polis terpaksa mengejar suspek sejauh lima kilometer sebelum suspek
memberhentikan kereta di tepi jalan dan melarikan diri bersama bungkusan
yang mengandungi dadah.
"Ketika
melakukan rondaan di Kampung Saujana kita berjaya mengesan sebuah
kenderaan dalam keadaan mencurigakan dan kita cuba menahan namun suspek
enggan berhenti dan terus memecut keretanya.
"Ekoran
daripada itu kita mengekori sebelum suspek memberhentikan kenderaan dan
melarikan diri berhampiran sungai dan membuang bungkusan itu di pinggir
jalan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Ab
Rahman berkata bagi mengelakkan diri daripada ditahan, suspek yang baru
dua tahun dibebaskan daripada menjalani hukuman Langkah-langkah
Pencegahan Khas (LLPK) di Kelantan menyembunyikan diri di dalam lopak
air namun berjaya dikesan polis.
Hasil
pemeriksaan beg plastik berkenaan, polis menemui 131 botol serbuk putih
dipercayai dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 601.89 gram dan
pil kuda seberat 404.259 gram, katanya.
Beliau
berkata pihaknya percaya dadah berkenaan diperoleh dari negara jiran
untuk edaran di sekitar daerah ini dan sedang mengenal pasti rangkaian
pengedaran dadah itu.
"Siasatan
awal kita dapati kenderaan yang digunakan merupakan kereta sewa dan
kita juga tidak menolak kemungkinan ketika kejadian suspek dalam
perjalanan untuk menghantar bekalan tersebut kepada pelanggan," katanya.
Hasil
ujian saringan air kencing mendapati bapa seorang anak itu negatif
daripada dadah dan suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk
siasatan.
Sumber : BERNAMA |