| Dungun,
28 Feb - Polis Diraja Malaysia (PDRM) optimis dapat mengurangkan kadar
jenayah dalam kalangan remaja khususnya pelajar sekolah rendah dan
menengah menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Pengarah
Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata bagi
merealisasikan hasrat itu, PDRM bersama-sama Kementerian Pendidikan dan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperkasa Program Remaja Berwawasan di seluruh negara. "Remaja
hari ini sangat rapuh. Mereka terdedah kepada pelbagai ancaman dan
godaan yang mampu merosakkan mereka. Statistik menunjukkan peningkatan
sebanyak 149 peratus masalah jenayah dalam kalangan golongan ini pada
tahun lepas," katanya kepada pemberita pada majlis penutup Kursus
Penataran Jurulatih Program Remaja Berwawasan di Pusat Latihan Polis di sini, hari ini. Turut
hadir Pengarah Pendidikan ATM Brig Jen Datuk Anuar Sabtu, Timbalan
Komandan Maktab PDRM Datuk Zakaria Yusuf dan Timbalan Ketua Polis negeri
Datuk Hamzah Md Jamil. Mohd
Fuzi berkata antara program pengisian yang lebih menarik dirancang
untuk golongan sasar berusia antara 12 dan 17 tahun bagi tahun ini ialah
kem musim panas termasuk dua di Terengganu dan satu di Kelantan. Beliau
berkata program itu bukan sahaja bertujuan menangani masalah disiplin
dalam kalangan pelajar, malah mempersiapkan modal insan yang merupakan
aset utama dalam kelansungan program transformasi negara. Menurutnya
ancaman kepada keperibadian dan sikap pelajar berpunca daripada keadaan
persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan keluarga bermasalah selain
kecanggihan teknologi. "Saya
percaya dengan adanya penerapan nilai-nilai positif, program ini akan
meningkatkan lagi jati diri pelajar serta membuatkan mereka lebih
menghargai diri sendiri, ibu bapa, keluarga, sekolah, masyarakat dan
negara," katanya. Sumber : BERNAMA |