| Langkawi,
8 April - Dua lelaki dipercayai pengedar dadah dicekup Pasukan Polis
Marin (PPM) Langkawi semasa sedang leka menjalankan urusan jual beli
dadah di sebuah kawasan penempatan nelayan. Dua
lelaki terbabit dilihat dalam keadaan yang mencurigakan oleh anggota
polis marin semasa menjalankan rondaan Operasi Landai di kawasan Taman
Nilam jam 6 petang tadi. Pemangku
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Langkawi, Insp. Anuar bin Che
Ismail berkata kedua-dua lelaki tersebut cuba melarikan diri apabila
menyedari kehadiran anggotanya tetapi berjaya ditahan. "Pemeriksaan
lanjut telah menemui 14.7gram dadah jenis heroin dan 0.2gram syabu
dianggarkan bernilai RM2,000 dari kedua-dua suspek. Ujian air kencing
juga mendapati kedua-duanya positif dadah," katanya lagi. Kedua-dua
lelaki berusia 18 dan 20 tahun itu juga dipercayai menjalankan aktiviti
pengedaran dadah secara kecil-kecilan kepada nelayan di kawasan
terbabit. Kedua-dua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya dan ditahan di IPD Langkawi untuk tindakan lanjut. Sumber : Pasukan Polis Marin Langkawi |