| Ipoh,
7 April - Seorang penganggur yang dipercayai melakukan lapan kes
jenayah samun dalam tempoh dua jam di sekitar bandar raya ini semalam
diberkas. Dia diberkas ketika cuba melarikan diri ke kebun jagung di Chemor. Ketua
Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata suspek berusia 26 tahun
itu dipercayai menyamun di lapan lokasi berasingan antara pukul 6 hingga
8 pagi sebelum ditahan pada pukul 9.30 pagi. "Semalam
suspek dipercayai telah menyamun tujuh premis termasuk beberapa stesen
minyak, pasar mini 24 jam dan kedai runcit dalam tempoh dua jam sahaja,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata pihaknya yang bertindak atas maklumat telah melancarkan operasi serta-merta bagi mengesan suspek. "Suspek
yang menyamun sebuah stesen minyak di Kampung Tawas bertindak agresif
dengan melibas rantai besi ke arah polis yang cuba menahannya di premis
berkenaan," katanya. Sum berkata suspek kemudiannya melarikan diri ke arah pekan Chemor. "Polis
kemudiannya menemui suspek di sebuah kebun jagung berhampiran pekan
Chemor setelah suspek menyamun sebuah motosikal," katanya. Beliau
berkata pemeriksaan mendapati suspek positif methamphetamine dan turut
mempunyai tiga rekod jenayah iaitu melibatkan kes curi dan dadah. Kerugian lapan kes samun itu melibatkan wang tunai RM2,000 serta barangan lain bernilai RM300. Dalam
perkembangan lain, seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan kerana
melepaskan satu tembakan menggunakan sepucuk senapang patah di sebuah
ladang kelapa sawit di Kuala Kuang, Chemor. Sum
berkata lelaki itu telah menyalahgunakan lesen senjata api yang
dimilikinya dan bertindak melepaskan tembakan mengikut emosi. "Dia
dikatakan melakukan perbuatan itu pada pukul 3 petang selepas bergaduh
dengan iparnya yang berusia 71 tahun. Kita merampas sepucuk shotgun,
tiga peluru hidup dan satu kelongsong yang dipercayai digunakan untuk
melepaskan tembakan," katanya. Beliau berkata pengusaha ladang kelapa sawit itu boleh dipenjara minimum dua tahun jika sabit kesalahan. "Kejadian
difahamkan berpunca daripada masalah keluarga apabila suspek dan
iparnya bergaduh mengenai sebidang tanah milik keluarga," katanya. Sumber : BERNAMA |