| Alor
Setar, 8 Mac - Polis Kedah akan mengadakan Program Outreach bersama
penduduk kampung di negeri ini bagi memberi maklumat terperinci mengenai
pelbagai jenayah yang berlaku di negeri ini. Ketua
Polis negeri Datuk Ahmad Ibrahim berkata penerangan kepada penduduk
kampung terutama di pedalaman perlu bagi memastikan mereka mendapat
maklumat tepat mengenai pelbagai jenayah. Katanya,
perkongsian maklumat ini dapat menjadikan ibu bapa atau penduduk
kampung sebagai masyarakat berilmu sekaligus dapat mengurangkan kadar
jenayah berkaitan dadah, air ketum serta motosikal. "Kalau
kita lihat ada pelajar yang tercicir disebabkan faktor kemiskinan dan
mereka boleh terjebak dalam kegiatan jenayah. Ibu bapa perlu memberi
tumpuan kepada anak-anak mereka bagi menghalang daripada mereka terlibat
dalam kegiatan jenayah. "Penyalahgunaan
air ketum di kampung amat serius sehingga minuman tersebut dihidangkan
kepada pekerja yang melakukan kerja-kerja di rumah kenduri," katanya
kepada pemberita ketika ditemui pada program Outreach di kampung
Menerong, Pokok Sena dekat sini hari ini. Ahmad
berkata menerusi program tersebut pihaknya turut memperkenalkan
ketua-ketua balai Polis setempat dan anggota Polis yang menjaga kawasan
setempat. Pada
program tersebut seramai 600 anggota Polis dan penduduk kampung
Menerong mengambil bahagian dengan melakukan gotong royong membersih
masjid dan turut mengadakan pameran mengenai kesalahan jenayah. Sumber : BERNAMA |