Kota Kinabalu, 14 April - Pasukan
Polis Marin merampas 20 tan kepingan kulit kima (sejenis kerang)
bernilai kira-kira RM400,000 dan menahan sembilan nelayan warga Vietnam
dalam Operasi Cantas Laut, Khamis lepas.
Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata barangan itu dirampas dari sebuah
bot tempatan yang diperiksa di kawasan perairan Pulau Mengalum pada
kira-kira 10.30 pagi ketika sembilan nelayan di atasbot berkenaan
menjalankan aktiviti memungut kulit kima.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu melakukan kerja-kerja pemungutan hasil laut tanpa permit atau lesen yang sah.
Berdasarkan lesen yang
ditunjukkan, bot ini sebenarnya hanya (dibenar) menjalankan aktiviti
penangkapan ikan jenis rawai," katanya kepada pemberita di sini hari
ini. Beliau berkata kepingan
kulit kima itu dipercayai akan dibawa ke negara asal nelayan berkenaan
untuk dijual dan dijadikan ubat-ubatan tradisional serta barangan
kosmetik selain perhiasan. Hamza juga berkata nelayan
yang ditahan memiliki dokumen perjalanan dan memasuki negara ini secara
sah kerana mereka menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan. "Kima adalah spesies yang
dilindungi, dan sebarang aktiviti memungut serta mengumpul kulitnya
adalah satu kesalahan. Pasukan Polis Marin akan menguatkuasakan lagi
undang-undang yang ada berkaitan hasil laut," katanya.
Sumber: BERNAMA
|