Menu

Polis Marin Tahan Tiga Lelaki Disyaki Miliki Ikan Bom

Tawau, 6 Feb - Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menahan tiga lelaki berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun kerana disyaki memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan dekat sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 ACP Mohamad bin Madun berkata ketiga-tiga lelaki yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu ditahan di kawasan perairan Inderasabah ketika sedang menjalankan aktiviti haram mereka menggunakan sebuah bot pam.

Beliau berkata polis menjumpai sejumlah ikan pelbagai spesies di dalam sebuah tong plastik dan peralatan menangkap ikan seperti seunit compressor, seunit goggle, seunit gelung hose dan kasut menyelam buatan sendiri.

"Kesemua ikan, bot dan peralatan tersebut yang dianggarkan bernilai RM5,050 dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut,"katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, Mohamad berkata polis memandang serius kegiatan menangkap ikan menggunakan bom ikan kerana ia memusnahkan habitat ikan dan boleh membawa kepada kemerosotan sumber perikanan.


Sumber : Pasukan Polis Marin Tawau Sabah

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS