| Georgetown,
7 Feb - Polis Pulau Pinang menyelamatkan 11 wanita warga asing yang
dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan oleh sebuah syarikat agensi
pekerjaan dalam satu serbuan di Bandar Baru Farlim, di sini dua hari
lepas.
Ketua
Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata hasil maklumat awam
dan risikan, polis menyerbu sebuah premis perniagaan dan menyelamatkan
sembilan wanita Indonesia dan dua warga Kemboja yang dikurung dalam
sebuah bilik di situ.
"Dalam
serbuan pukul 6.45 petang itu, sepasukan anggota polis telah pergi ke
premis berkenaan dan pada mulanya pemilik agensi pekerjaan itu enggan
membuka pintu, selepas hampir dua jam baru seorang wanita Myanmar
membuka pintu.
"Hasil
pemeriksaan di sebuah bilik di tingkat dua premis berkenaan, polis
menemui sembilan wanita Indonesia dan dua wanita Kemboja berusia 21
hingga 41 tahun dikurung dalam bilik berkenaan," katanya ketika
dihubungi hari ini.
Katanya
berdasarkan siasatan awal, empat daripada mereka yang diselamatkan itu
bekerja di negeri ini sebagai pembantu rumah sejak sebulan lepas tetapi
tidak dibayar gaji.
Gan
berkata tujuh lagi yang baru tiba lima hari lepas di Pulau Pinang
mengakui dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah di Malaysia melalui
ejen tetapi apabila sampai di negara ini, hanya dibiarkan di dalam
premis terbabit dan tidak dibenarkan berjumpa sesiapa.
"Siasatan
awal mendapati kesemua mereka yang masuk ke Malaysia menggunakan pas
lawatan sosial dikurung oleh pemilik agensi pekerjaan berkenaan dan
tidak diberikan makanan secara teratur. Polis turut menemui semua
pasport milik wanita-wanita itu," katanya.
Katanya
susulan kejadian itu, polis menahan pemilik agensi berkenaan bersama
empat pekerjanya termasuk tiga wanita berumur 23 hingga 48 tahun bagi
membantu siasatan.
Beliau
berkata lima termasuk seorang wanita Myanmar itu kini direman sehingga
12 Feb bagi membantu siasatan menurut Akta AntiPemerdagangan Orang 2007. Sumber : BERNAMA |