| Kuantan,
23 Feb - Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita serta merampas
1,000 bijil pil kuda dan 44 biji pil ecstasy dalam serbuan di sebuah
rumah di Lorong Seri Kuantan di sini, Khamis lepas. Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Toon Khuan berkata
dalam serbuan 9.30 malam itu, polis menemui 1,000 biji pil kuda dan 44
biji pil ecstasy di dalam sebuah almari di tingkat atas rumah dua
tingkat itu. "Selain
itu, polis merampas wang tunai RM860, sebuah kereta jenis Honda Civic
FD dan sebuah Proton Iswara daripada suspek," katanya ketika dihubungi
Bernama di sini, hari ini. Siasatan
awal mendapati suspek lelaki berusia 23 tahun itu, yang berasal dari
Bukit Kuantan, mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis bagi
membantu siasatan berhubung kes dadah manakala suspek wanita yang juga
berusia 23 tahun tidak mempunyai rekod jenayah. Yap
berkata ujian air kencing ke atas suspek lelaki mendapatinya positif
dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita, yang berasal dari
Felda Triang, negatif dadah. Beliau
berkata suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada seorang
lelaki di Terengganu untuk diedarkan kepada penagih di sekitar Kuantan. Mereka
kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bagi membantu siasatan
mengikut Seksyen 39B, Sek 39A (1) dan Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya
1952. Sumber : BERNAMA |