Menu

Polis Tahan Pekerja Kilang Dipercayai Pengedar Dadah

Kuantan, 5 April - Seorang pekerja kilang dipercayai pengedar dadah ditahan dalam serbuan ke sebuah rumah di Felda Keratong 2 dekat Bandar Tun Razak, Rompin, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira 2.30 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin dengan diketuai Insp Zulkaranain Hassan Ghazali.

"Hasil risikan, kita telah menahan suspek yang berasal dari Felda Keratong 2 yang ketika itu sedang menunggang sebuah motosikal.

"Setelah pemeriksaan dilakukan, polis menemui dua paket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 3.25 gram dan satu paket plastik syabu seberat 2.79 gram dalam sebuah beg silang suspek," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Selain itu, katanya polis turut menemui satu plastik berisi heroin seberat 103.17 gram di dalam raga motosikal suspek.

Menurutnya siasatan awal mendapati suspek pernah memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan kes penyalahgunaan dadah.

Suspek dibawa ke IPD Rompin untuk disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.
 
Sumber : BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS