| Kota
Bharu, 7 Feb - Polis menahan seorang lelaki bersama 2,000 biji pil
dipercayai pil kuda di Kampung Merbau Chondong, Pulai Chondong, Machang,
semalam.
Ketua
Polis Daerah Machang DSP Che Malek Bedot berkata dalam kejadian pada
pukul 4 petang itu, enam anggota Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu
Pejabat Polis Daerah Machang yang membuat rondaan telah terserempak
dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan
mencurigakan.
Katanya, anggota berkenaan telah mengarahkan kereta yang dinaiki suspek berhenti untuk pemeriksaan.
"Hasil
pemeriksaan, pihak polis menemui satu bungkusan plastik berwarna hitam
di dalam 'dashboard' hadapan kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi
hari ini.
Che Malek berkata pemeriksaan lanjut terhadap plastik tersebut terdapat 2,000 biji pil yang dipercayai pil kuda.
Beliau berkata suspek berusia 28 tahun itu bertindak ganas dan cuba melarikan diri setelah pihak polis menemui pil berkenaan.
"Ketika suspek cuba melarikan diri, berlaku pergelutan menyebabkan seorang anggota polis cedera di tangan ketika menahannya.
Che
Malek berkata ujian air kencing menunjukkan suspek positif
methamphetamine dan direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu
siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sumber : BERNAMA |