Polis Tahan Seorang Lelaki, Rampas Dadah, Pistol Tiruan Dan
Johor
Bharu, 25 April - Polis Johor percaya dapat menumpaskan sindiket
pengedaran dadah berikutan penahanan seorang lelaki di sebuah hotel di
Taman Mount Austin, di sini, Rabu lepas. Ketua
Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berusia 28
tahun itu ditahan pada 3.45 pagi selepas polis bertindak atas maklumat
berkaitan jenayah terbabit. "Polis
yang melakukan pemeriksaan menemui lima paket plastik lut sinar disyaki
dadah bersama wang tunai RM8,945. Turut ditemui sepucuk pistol tiruan
berserta sarungnya dan dua kotak peluru alas bebola," katanya kepada
pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini. Mohd
Mokhtar berkata siasatan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai
rekod jenayah lampau, namun didapati positif dadah jenis
methamphetamine. Beliau
berkata suspek kini ditahan reman dua minggu untuk siasatan mengikut
Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata
1960 kerana memiliki senjata tiruan. Dalam
kes berasingan, Mohd Mokhtar berkata pihaknya turut berjaya menumpaskan
sindiket perjudian loteri haram membabitkan nilai kira-kira RM2.5 juta
sebulan berikutan penahanan tiga orang termasuk dua wanita dalam serbuan
di Kampung Sungai Bunyi Hilir, dekat Pontian, dua hari lepas. Beliau berkata ketiga-tiga mereka yang berumur antara 40 dan 50 tahun itu ditahan pada 5.35 petang, hasil maklumat awam. "Polis
merampas pelbagai barangan termasuk tiga komputer, tiga komputer riba,
tiga mesin pencetak, tujuh mesin faksimili, 170 helai kertas yang
tercatat angka disyaki berkaitan loteri haram, tujuh telefon bimbit dan
kalkulator dalam serbuan itu," katanya. Ketiga-tiga mereka kini ditahan reman sehingga Ahad, katanya. Sumber : BERNAMA |