| Temerloh,
22 Mac - Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai terlibat
dengan kegiatan pengedaran dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di
Taman Bahagia Temerloh, di sini tiga hari lepas. Ketua
Polis Daerah Temerloh ACP Abdul Aziz Salleh berkata dalam serbuan pukul
3.15 petang itu, polis turut merampas dadah jenis syabu dan heroin yang
dianggar bernilai RM10,000. "Dadah
jenis syabu dan heroin itu, masing-masing seberat 10.02 gram dan 166.05
gram, ditemui disembunyikan di dalam sebuah kotak besi di sebuah bilik
di rumah tersebut. "Turut
dirampas alat penimbang digital, sebuah kotak mengandungi plastik
kosong, botol kaca yang diubah suai, kepingan aluminium dan gunting yang
disyaki digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah," katanya kepada
pemberita di sini. Beliau berkata pasangan yang berusia 20 dan 30 tahun itu dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut sejak tiga tahun lepas. Bagi
memudahkan kegiatan, pasangan tersebut dipercayai menghantar dua anak
mereka yang berusia dua dan tiga tahun ke kampung untuk dijaga oleh
anggota keluarga, katanya. Kedua-duanya
yang mempunyai rekod lampau berhubung kesalahan narkotik turut positif
dadah, kata Abdul Aziz yang menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B
dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952. Sumber : BERNAMA |