| Kuala
Krai, 9 Mac - Polis menahan tiga lelaki dan merampas 11 kenderaan
dipercayai barang curi dalam dua operasi di Kampung Temalir, semalam. Ketua
Polis Daerah Kuala Krai Supt Ab Rahim Che Ghani berkata menerusi 'Ops
Lejang, suspek yang berumur lingkungan 30-an ditahan di rumah mereka
pukul 3 pagi. "Dalam
serbuan pertama, kami menahan dua lelaki di rumah yang turut dijadikan
bengkel haram bersama-sama empat motosikal dan beberapa komponen yang
telah dileraikan. "Dalam
serbuan kedua pada waktu yang sama, polis menahan seorang lagi lelaki
dan merampas 3 kereta serta 4 motosikal di bengkel berasingan," katanya
kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai hari ini. Beliau berkata siasatan awal mendapati bengkel itu dijadikan tempat meleraikan komponen kenderaan yang dicuri. "Kami
tidak menolak kemungkinan yang kes ini akan dapat membantu kita untuk
menyelesaikan lebih banyak kes berkaitan dengan kecurian kenderaan yang
berlaku di daerah ini," katanya sambil menambah suspek ditahan mengikut
Seksyen 29(1) Undang-undang Kesalahan Kecil 2000 kerana gagal memberi
keterangan berhubung barang yang dimiliki. Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan. Sumber : BERNAMA |