| Kuantan,
3 April - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam sindiket
mencuri tujuh lori di Rompin dan Johor Baharu untuk diguna bagi
mengangkut kelapa sawit di kawasan Felda Berabong dan Selendang
berhampiran Endau-Rompin awal hari ini. Dalam
serbuan pada kira-kira 4 pagi itu, kesemua suspek termasuk seorang
kontraktor berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan ketika sedang
tidur di sebuah bengkel membaiki kenderaan dekat Felda Selendang. Ketua
Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata kontraktor terbabit
dikatakan mendapat kontrak menguruskan ladang manakala dua lelaki itu
adalah pekerjanya. "Polis
percaya suspek memadam nombor casis lori sebelum dibawa ke kawasan
Felda sekitar daerah Rompin untuk digunakan mengangkut kelapa sawit. "Tujuh
lori yang ditemui tidak mempunyai cukai jalan serta insurans malah ada
yang direkod hilang, dan polis akan berusaha mengesan semula semua
nombor casis yang dikikis itu," katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau
berkata polis akan membuat pemeriksaan di ladang lain di Rompin serta
memburu beberapa individu yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan
siasatan berkaitan sindiket mencuri lori ini mengikut Seksyen 379A Kanun
Keseksaan. Johari
juga berkata dalam operasi sama, polis menahan 31 warga asing dari
Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia kerana tidak memiliki sebarang
dokumen atau permit kerja. Sumber : BERNAMA |