| Kuala
Lumpur, 7 Mac - Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah
antarabangsa selepas menahan tujuh suspek termasuk enam warga asing dan
merampas 4.9 kilogram dadah Syabu bernilai RM900,000 dalam enam operasi
di sekitar Lembah Klang. Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid
Ibrahim berkata sepanjang operasi sejak 20 Feb hingga semalam, polis
menahan tiga lelaki Nigeria, tiga wanita warga Uganda dan seorang lelaki
tempatan berusia antara 22 dan 42 tahun. Beliau
berkata modus operandi sindiket itu ialah menyeludup dadah menerusi
perkhidmatan pos laju dan kurier dengan menyorokkannya dalam pelbagai
barangan persendirian termasuk peralatan cakera padat DVD. "Kumpulan
ini menggunakan taktik menyeludup bekalan dadah dalam jumlah yang kecil
bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, namun ia dilakukan secara kerap. "Kita
mendapati ketiga-tiga lelaki Nigeria itu adalah penuntut di sebuah
kolej di Lembah Klang namun siasatan masih diteruskan," katanya dalam
siding akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini. Noor Rashid berkata latar belakang tiga wanita Uganda itu masih disiasat. Beliau berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membantu siasatan. Menurutnya
sepanjang dua bulan lepas, JSJN menahan 33,702 individu yang dipercayai
terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berbanding 30,293 orang dalam
tempoh sama tahun lepas. Jumlah tangkapan meningkat sebanyak 11 peratus, katanya. Sumber : BERNAMA |