| Kajang,
19 Mac - Polis menembak mati dua suspek dipercayai ahli kumpulan Geng
21 dalam kejadian tembak menembak berhampiran sebuah tapak pembinaan di
Ara Damansara, di Selangor malam tadi. Ketua
Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kejadian itu berlaku
10.50 malam apabila suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira
Aeroback, melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis yang mengejar
mereka selepas mendapati mereka terperangkap di jalan mati. Sepasukan
polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Selangor itu membalas tembakan dan menembak mati suspek, katanya kepada
pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini. Beliau
berkata sepasukan polis terdiri daripada seorang pegawai dan tiga
anggota polis, sedang menjalankan rondaan mencegah jenayah menghampiri
kereta suspek yang dalam keadaan mencurigakan di Jalan PJU1A/9, Ara
Damansara tetapi mereka memecut kenderaan itu. "Bagaimanapun
kereta terbabit berpatah balik kerana dipercayai memasuki jalan mati,
seterusnya melepaskan beberapa das tembakan apabila bertembung dengan
kenderaan polis yang mengikut dari belakang," katanya. Mohd Shukri berkata polis dapat mencari perlindungan dan melakukan tembakan balas. Kedua-dua suspek berumur 22 dan 26 tahun mati di tempat kejadian, katanya. Mohd
Shukri berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai
enam rekod jenayah lampau termasuk seorang daripadanya pernah ditahan
mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969
(POPOC) di Simpang Renggam pada 2008. "Pemeriksaan
lanjut di dalam kenderaan suspek turut menemui sepucuk pistol jenis
LLAMA Cal 7.65mm(32), dua bilah parang, topeng muka dan sarung tangan
yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun," katanya. Sumber : BERNAMA |