| Kuala
Lumpur, 24 April - Selepas tujuh jam menyamun sebuah rumah dan
melarikan sebuah kereta kereta di Bandar Kinrara, Puchong pagi tadi, dua
suspek akhirnya ditahan pihak polis dengan seorang daripadanya cedera
ditembak dekat kondominium Vista Komanwel, Bukit Jalil petang ini. Ketua
Polis Daerah Serdang ACP Abd Razak Elias berkata suspek berumur sekitar
20-an itu dicekup selepas polis mengesan kereta curi jenis Mercedes dan
Volkswagen yang dinaiki mereka di Bandar Kinrara, sebelum mengejar dua
kereta itu hingga ke Bukit Jalil. Beliau
berkata tiba suspek yang memandu Volkswagen itu turut bersikap agresif
dengan cuba merempuh kereta polis yang menghalang mereka hingga
menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan yang
mengenai lengan kanan suspek. "Sementara
suspek yang memandu kereta Mercedes yang mengekori rakannya dari
belakang menyerah diri sejurus kejadian itu dan pemeriksaan di dalam
kereta Mercedes itu menemui barangan yang dipercayai disamun Bandar
Kinrara antaranya barangan kemas bernilai RM20,000, wang tunai dan
telefon bimbit serta peralatan pecah rumah," katanya di tempat kejadian. Beliau
berkata semua barangan yang disamun bernilai RM200,000 termasuk kereta
Volkswagen tersebut yang dilarikan dari rumah di Bandar Kinrara itu,"
katanya. Abd
Razak berkata dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis percaya
telah menyelesaikan tiga kes samun di Bandar Kinrara pagi ini, mencuri
kenderaan dan pecah rumah pada 20 April lepas dan kes samun di Taman
Bukit Kuchai. Beliau
berkata suspek yang memiliki rekod lampau ditahan untuk disiasat di
bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen
395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata. Suspek yang cedera dihantar ke Hospital Serdang. Dalam
kejadian pukul 7.45 pagi tadi di Bandar Kinrara itu, seorang wanita
membuat laporan polis selepas rumah teres dua tingkatnya dimasuki dua
lelaki dan mengacukan pisau kepadanya yang sedang tidur. Mangsa ketika itu tinggal berseorangan diri. "Suspek
menyelongkar biliknya dan menyamun wang tunai RM2,000, barangan kemas
pelbagai bentuk, beg berjenama serta melarikan kereta Volkswagen Bettle
berwarna hitam," kata Abd Razak. Sumber : BERNAMA |