| Muar,
11 April - Sepasang suami isteri menjadikan perniagaan buah-buahan yang
mereka usahakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa daripada mengesan
kegiatan mengedar dadah. Namun
kegiatan itu berakhir setelah polis menyerbu rumah pasangan itu di
Parit Bakar, Jalan Temenggung Ahmad pada Selasa lepas dan merampas
pelbagai jenis dadah bernilai RM55,000. Dalam
serbuan kira-kira pukul 6.40 petang, sebanyak 2,000 biji pil disyaki
dadah Eramin 5, 50 biji pil Ecstasy dan 46.6 gram Ketamin yang
kesemuanya boleh menampung bekalan untuk 2,000 penagih dirampas. Ketua
Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata hasil siasatan, polis
mendapati pasangan berusia 45 tahun itu terlibat dalam pengedaran dadah
sejak awal Januari lepas. Beliau
berkata suspek lelaki itu baru sahaja dibebaskan daripada hukuman
penjara kerana kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya dan polis telah
mendapat perintah reman pasangan tersebut hingga 15 April. Sementara
itu, Azman berkata seorang lelaki warga emas berusia 59 tahun ditahan
dalam serbuan di Taman Sakeh Jaya di sini pada 6 April lalu kerana
memiliki 509 gram dadah disyaki Ketamin. Katanya
dadah bernilai RM127,000 dalam pasaran itu boleh menampung keperluan
2,000 penagih dan ditemui disembunyikan di bahagian dapur rumah suspek. Hasil ujian air kencing suspek didapati negatif dan dia tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah lampau. Lelaki itu ditahan reman sehingga 13 April ini. Sumber : BERNAMA |