| Sungai
Petani, 11 Mac - Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing dalam
Op Cantas Khas di Jalan Ladang Kuala Muda Sungai Petani-Baling dekat
sini awal hari ini. Dalam
kejadian kira-kira 4.30 pagi, tiga penjenayah berusia lingkungan 25
hingga 30 tahun itu melepaskan tembakan ketika diminta menghentikan
kenderaan mereka oleh anggota polis. Ketua
Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam kejadian itu, lapan
anggota termasuk seorang pegawai polis dalam Op Cantas Khas mengekori
kenderaan penjenayah itu sebelum meminta mereka berhenti setelah
mengesyaki sesuatu yang mencurigakan. Katanya
kumpulan penjenayah itu melepaskan tembakan dan anggota berkenaan
terpaksa mempertahankan diri dengan membalas tembakan itu menyebabkan
tiga penjenayah itu terkena tembakan dan maut di tempat kejadian. "Dalam
kejadian itu seorang anggota Op Cantas Khas terkena tembakan.
Bagaimanapun anggota berkenaan terselamat kerana memakai baju kalis
peluru. Anggota berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul
Halim Sungai Petani," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat
kejadian hari ini. Ahmad berkata hasil siasatan mendapati kereta yang digunakan penjenayah itu iaitu jenis Proton Perdana dicuri di Pulau Pinang. "Pemeriksaan juga menemui menemui parang, sejumlah dadah dan sepucuk senjata api (pistol) dalam kenderaan penjenayah," katanya. Mayat
tiga penjenayah berkenaan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim. Ahmad
berkata polis akan mendapatkan maklumat lanjut pembabitan tiga
penjenayah berkenaan dalam beberapa kes rompakan.
Sumber : BERNAMA |