| Padang
Besar, 12 Mac - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar merampas
18 kenderaan pelbagai jenis bersama-sama minyak petrol dipercayai akan
diseludup ke negara jiran, pakaian berjenama tiruan dan daun ketum, yang
keseluruhannya bernilai RM1.06 juta. Komander
UPP Padang Besar ASP Bahari Ahmad berkata rampasan itu dibuat dalam dua
operasi pada 10 dan 11 Mac lepas sekitar Kampung Wang Kelian dan
Kampung Sena, Titi Tinggi dekat sini. Bercakap
kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata
pemeriksaan di sekitar kawasan semak dan aked niaga Wang Kelian pukul
6.30 pagi semalam membawa kepada penemuan kenderaan yang mempunyai
tangki minyak tambahan di bahagian bawah dan bonet. Beliau
berkata minyak petrol yang dirampas diserah kepada Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk disiasat
mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Dalam
operasi sama, UPP menahan seorang lelaki tempatan berumur tiga puluhan
dan menjumpai sebanyak 19.6 kilogram daun ketum dalam kenderaan dinaiki
suspek dipercayai akan diseludup ke negara jiran. Dalam
perkembangan berkaitan, UPP menahan seorang lelaki tempatan berumur 24
tahun di sebatang jalan kampung di Kampung Sena selepas menjumpai
sejumlah 141 pakaian pelbagai jenama tiruan dipercayai untuk dijual di
sebuah pasar malam di Kulim.
Sumber : BERNAMA |