DUA DITAHAN, POLIS RAMPAS DADAH BERNILAI HAMPIR RM100,000
Kota Bharu, 12 Jun - Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita
serta merampas pelbagai jenis dadah yang dianggar bernilai hampir
RM100,000 di Kampung Pachor, Kemumin, di sini.
Ketua
Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata kedua-dua suspek yang
berumur 42 dan 56 tahun ditahan pada pukul 11.30 pagi semalam di sebuah
rumah oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Kota Baharu.
"Ini
merupakan hasil risikan dan maklumat awam, ketika serbuan suspek sedang
leka membungkus dadah dan kita percaya kedua-dua suspek ini merupakan
rakan kongsi.
"Kita
berjaya merampas 2,200 biji pil kuda, 19 botol mengandungi dadah jenis
heroin dan tiga bungkus plastik cerah dipercayai dadah jenis syabu
seberat 2.0 gram," katanya kepada pemberita di IPD Kota Baharu di sini,
hari ini.
Beliau
berkata siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah dari
negara jiran dan kesemua dadah itu dipercayai untuk diedarkan di sekitar
Kota Bharu.
"Modus
operandi yang digunakan suspek ialah menggunakan rumah sebagai tempat
untuk mengedarkan dadah, pelanggan datang ke rumah berkenaan untuk
memperoleh bekalan dadah dan mereka juga ada pelanggan tetap.
"Mereka
dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu dan kedua-dua suspek
positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah
lampau," katanya.
Kesemua
suspek kini direman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan
lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kes
turut di siasat di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika
sabit kesalahan boleh di penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak
lebih dari lima tahun dan dikenakan tidak kurang dari tiga sebatan.
Sumber: BERNAMA