DUA LELAKI DITAHAN BERSAMA DADAH BERNILAI RM17,000 DI KUALA KRAI
Kuala Krai, 15 Jun - Polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai
jenis dadah dianggar bernilai hampir RM17,000 di Kampung Sungai Batu,
Dabong di sini Rabu lepas.
Timbalan
Ketua Polis Daerah Kuala Krai DSP Nuraddin Wahab berkata kedua-dua
suspek yang berumur 24 dan 37 tahun ditahan ketika sedang menunggang
motosikal pada pukul 11.45 malam hari tersebut oleh anggota Bahagian
Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.
"Kita
tahan suspek dan pemeriksaan ke atas beg silang milik seorang suspek,
polis menemui pelbagai jenis dadah, tiga cincin serta seutas rantai
emas.
"Kita
menemui 523 biji pil kuda, 2 botol serta 1 tiub straw mengandungi dadah
jenis heroin dan wang tunai sebanyak RM4,155 di dalam beg berkenaan,"
katanya kepada pemberita di IPD Kuala Krai di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai untuk diedarkan di sekitar Dabong, Kuala Krai dan Gua Musang.
"Suspek memperoleh bekalan dadah dari pembekal dalaman.
"Kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan opiate serta mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Nuraddin berkata suspek kini direman selama seminggu bermula tarikh mereka ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau
berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kes
turut disiasat di bawah seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang
memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum seumur
hidup dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.
Sumber: BERNAMA