POLIS PADANG BESAR TEMUI SEMULA SEBUAH TRELER YANG DICURI
Padang Besar, 19 Jun - Polis Daerah Padang Besar menemui semula sebuah
treler pengangkut simen bernilai RM80,000 di kampung Nathawee, Songkhla,
selatan Thailand, selepas dilaporkan hilang di Bukit Keteri dekat sini
Isnin lalu.
Ketua
Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Dros berkata, treler itu
dilarikan ke kampung terbabit pada jarak kira-kira 51.1 kilometer dari
sini dan kemudian dicat semula daripada warna merah kepada warna putih,
sementara nombor pendaftarannya dibuang dengan tambahan aksesori bagi
mengaburi mata pihak berkuasa.
Bercakap
kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata polis
Padang Besar menerima laporan kehilangan treler itu dari tempat letak
kereta kilang simen Bukit Keteri kira-kira pukul 3 petang.
Katanya,
pengadu membuat laporan polis bahawa kenderaan itu diletakkan di situ
14 Jun lalu ntuk menunggu giliran mengisi simen dari kilang berkenaan ke
dalam treler itu yang dijadual pada 19 Jun, tetapi kemudiannya
menyedari kehilangan treler pada 16 Jun.
"Berdasarkan
siasatan awal, polis mendapati treler itu dipandu melepasi sempadan
Malaysia-Thailand di Padang Besar pada jam 6.29 pagi, 16 Jun 2014
berdasarkan rakaman CCTV di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin
(ICQ) Padang Besar," katanya. Beliau berkata, ekoran itu, polis Padang
Besar menghubungi polis Thailand bagi mendapatkan bantuan mengesan
treler terbabit sebelum mengesannya di Kampung Nathawee, selatan
Thailand lalu dibawa ke Balai Polis Nathawee sebelum diserah kepada
pihak polis Padang Besar, kelmarin.
Menurut
Che Man, ini adalah kes curi treler pertama dikendalikan polis Padang
Besar dan beliau tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan
anggota sindiket yang berpengalaman melarikan treler dan mengubah
suainya tidak sampai 24 jam selepas dicuri bagi mengelak dikesan pihak
berkuasa.
Bagaimanapun,
katanya, setakat ini polis belum dapat mengesahkan sama ada penjenayah
terbabit warga tempatan atau Thailand dan siasatan masih diteruskan
dengan kerjasama polis Thailand bagi mengesan penjenayah terbabit.
Dalam
perkembangan lain, Che Man berkata, polis Padang Besar merampas 190
kilogram daun ketum dan 52.5 liter air ketum yang kesemuanya bernilai
RM3,000 selepas menahan tiga suspek dalam beberapa serbuan di sekitar
Padang Besar, 17 Jun lalu.Katanya tiga suspek warga Thailand yang
ditahan itu berumur antara 23 hingga 57 tahun yang dipercayai cuba
menyeludup daun dan air ketum itu ke Thailand.
Sumber: BERNAMA