Menu

POLIS SELESAI TUJUH KES CURI MOTOSIKAL DI PASIR PUTEH DAN JERTEH

Pasir Puteh, 15 Jun - Polis berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian motosikal di daerah Pasir Puteh dan Jerteh, Terengganu berikutan tangkapan dua suspek lelaki.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Kamal Zainal berkata suspek berumur 21 dan 23 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Kampung Gong Kemuning, Bukit Yong di sini, pada pukul 7 pagi semalam.

"Ketika menahan mereka, polis menjumpai tujuh motosikal di halaman rumah itu dan sebuah motosikal disembunyikan di Kampung Gong Sawa tidak jauh dari situ," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini, hari ini.

Mohd Kamal berkata siasatan lanjut oleh pihak forensik mendapati sebahagian motosikal itu telah diubah suai bagi mengelirukan pihak polis.

Beliau berkata motosikal berkenaan dicuri di beberapa lokasi seperti pejabat kerajaan, bank dan pasar raya di daerah ini dan Jerteh.

"Polis percaya motosikal berkenaan akan dijual dengan harga antara RM300 dan RM500 sebuah kepada orang ramai," katanya.

Sumber: BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS