Menu

LAPAN DITAHAN DI SKUDAI, KES SAMUN SELESAI

LAPAN DITAHAN DI SKUDAI, KES SAMUN SELESAI

Johor Bahru, 3 Sept - Polis percaya dapat menyelesaikan lapan
kes samun di sekitar bandar raya ini selepas menahan lapan lelaki di dua lokasi berasingan di Skudai semalam.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supt Noor Hashim Mohamad berkata dua daripada mereka ditahan pada pukul 3 pagi di Jalan Silat Harimau, Bandar Selesa Jaya manakala enam lagi ditahan kemudiannya di sekitar Taman Skudai Baru.

"Terdahulu, polis menerima maklumat berkaitan satu kes samun membabitkan tiga lelaki berparang di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Taman Damai Jaya, Skudai pada 1 pagi 31 Ogos lepas.

"Bertindak atas maklumat berkenaan, polis berjaya menahan sebuah kereta bersama dua lelaki semalam dan siasatan lanjut kemudiannya berjaya menahan enam yang lain," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya hari ini.

Beliau berkata hasil penahanan lapan lelaki terbabit, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kereta, 17 telefon bimbit, tiga bilah parang, 60 keping kad tambah nilai prabayar dan wang tunai RM514.

Pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod dadah manakala tiga lagi mempunyai rekod jenayah lain.

Katanya kesemua yang berumur 17 hingga 24 tahun itu dipercayai terlibat dengan jenayah terbabit sejak enam bulan lepas dan mereka kini direman sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS