Menu

POLIS TUMPASKAN SINDIKET DADAH, TAHAN TIGA SUSPEK

POLIS TUMPASKAN SINDIKET DADAH, TAHAN TIGA SUSPEK

Miri, 3 Sept - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan tiga lelaki di Lot 56, Kampung Haji Wahed di sini pada Isnin lepas dan merampas 180 biji pil ecstasy bernilai RM14,400.

Timbalan Ketua Polis Miri Supt Stanley Jonathan Ringgit berkata ketiga-tiga lelaki berumur 22 hingga 33 tahun itu ditahan pada 10.10 malam dan kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan.

Katanya hasil pemeriksaan terhadap kereta Proton Wira milik seorang daripada suspek, polis menemukan pil tersebut disorok dalam sebuah kotak rokok dan diisi dalam kotak besar dan dipercayai diseludup masuk ke bandar raya ini dari Sibu.

"Kesemua 180 biji pil ecstasy itu dibungkus dalam lapan paket plastik lutsinar dan berat keseluruhan pil tersebut dianggarkan 56 gram," katanya dan menurutnya harga pasaran sebiji pil itu di sini ialah RM80 sebiji manakala di Sibu RM38 sebiji.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Beliau berkata, selain pil ecstasy, selaras senapang angin jenama Sharp Innova dan 91 butir peluru yang disembunyikan di dalam kompresor alat pendingin hawa turut dirampas daripada suspek terbabit.

"Senjata ini diseludup dari Indonesia, kita sekarang tengah menyiasat kenapa suspek memiliki senjata ini (tanpa permit) kerana mereka bukan petani atau pemburu," kata Stanley.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000, jika sabit kesalahan. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS