Menu

POLIS TAHAN 45 RAKYAT ASING DI PERMATANG BERTAM

Kepala Batas, 4 Sept - Empat puluh lima rakyat asing yang dipercayai baru dibawa masuk ke negara ini oleh sindiket pemerdagangan orang ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah di Permatang Bertam, di sini awal pagi tadi.

Mereka yang ditahan dalam serbuan pukul 2 pagi itu terdiri daripada 29 rakyat Bangladesh dan 16 warga Myanmar berumur antara 20 hingga 45 tahun, dengan kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan diri. 

"Ketika serbuan 45 warga asing termasuk dua wanita itu sedang tidur di rumah berkenaan," kata jurucakap polis di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati rumah itu disewa oleh seorang penduduk tempatan sejak beberapa bulan lepas dan dijadikan tempat transit penyeludupan rakyat asing sebelum mereka dijual kepada ejen atau orang perseorangan.

Siasatan juga mendapati sindiket berkenaan didalangi beberapa lelaki rakyat tempatan dan Myanmar, kata jurucakap itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata usaha mengesan dalang sindiket itu sedang giat dijalankan.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sindiket itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS