Menu

POLIS TAHAN LIMA LELAKI, SELESAI 10 SIASATAN KES KECURIAN DAN PECAH RUMAH

Kuching, 4 Sept - Polis di sini percaya berjaya menyelesaikan 
sekurang-kurangnya siasatan 10 kes kecurian dan pecah rumah serta pejabat dengan penangkapan lima lelaki dipercayai anggota Geng Ah Kien, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata, pasukan bertindak IPD Kuching memberkas tiga lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 48 tahun yang disyaki anggota Kumpulan Ah Kien ketika membuat serbuan di sebuah bangunan tidak bernombor di Batu Kawa.

"Hasil tangkapan itu pasukan serbuan berjaya menemui sebuah kereta Toyota Crown di Jalan Keretapi yang dipercayai diguna untuk melakukan jenayah pecah rumah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada hari yang sama pasukan itu turut menyerbu sebuah rumah di Sungai Apong dan menjumpai pelbagai barang dipercayai hasil pecah rumah dan curi dianggarkan bernilai RM20,000.

Pasukan itu juga menahan dua lelaki, kedua-duanya berusia 41 tahun yang didapati bersembunyi di atas siling dalam sebuah bilik di rumah itu.

Roslan berkata kesemua suspek yang didapati positif dadah jenis syabu kini ditahan reman selama empat hari sejak 2 Sept lepas. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS