Kuala Lumpur, 3 Sept – Sepucuk pistol bersama empat butir peluru hidup antara yang dirampas oleh pihak polis dalam satu operasi mematahkan sindiket penyeludupan dadah yang aktif di Pasir Gudang Johor, pada 24 Ogos lalu.
Operasi tersebut telah dilancarkan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam, Johor di mana telah menahan tiga lelaki serta merampas 112.7 gram heroin dalam kereta yang dinaiki mereka.
Ekoran daripada penahanan ketiga-tiga suspek telah membawa pihak polis ke sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang dan menahan empat orang lelaki serta menemui 63.7 gram syabu di rumah terbabit.
Susulan soal-siasat yang dibuat ke atas seorang daripada suspek,
pihak polis telah dibawa ke satu tempat dan menemui sepucuk pistol serta empat butir peluru hidup yang disembunyikan dalam semak.
Hasil rampasan dadah dianggarkan bernilai RM18,000 dan ketujuh-tujuh suspek, dua daripadanya mempunya rekod jenayah lampau kini ditahan untuk siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat sindiket pengedaran dadah.
Polis juga tidak menolak kemungkinan sindiket ini juga terlibat dalam kegiatan jenayah samun dan curi kenderaan di sekitar kawasan Johor.