Putrajaya, 9 Sept - Malaysia akan mewujudkan kerjasama dengan United Kingdom (UK) dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan termasuk mendapatkan khidmat nasihat London untuk memerangi jenayah kolar putih.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha memerangi jenayah kolar putih dan jenayah komersial memerlukan siasatan khusus selain menggunakan aset-aset canggih bagi memantau transaksi yang berlaku.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerjasama Kuala Lumpur dengan London dalam usaha memerangi jenayah kolar putih akan dilaksanakan melalui memorandum persefahaman (MoU) membanteras jenayah rentas sempadan yang termeterai di antara kedua-dua buah negara pada 2012.
"Usaha membanteras jenayah komersial dan jenayah kolar putih bagaimanapun tidak terletak pada bahu polis semata-mata tetapi turut melibatkan agensi lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara " katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia dan UK turut mengenal pasti kerjasama dalam beberapa bidang termasuk perkongsian pengalaman mengenai program pemulihan banduan dan penagih dadah selain usaha mencegah penularan penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak.
"Kedua-dua negara memandang serius terhadap masalah penularan penyalahgunaan dadah yang bukan sahaja terhad kepada remaja tetapi turut melibatkan murid sekolah," tegas beliau.
Sumber: Utusan Malaysia