Kuala Lumpur, 10 Sept – Bertindak atas maklumat berkenaan kurier dadah, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah menahan seorang wanita warganegara Filipina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan berjaya merampas dadah syabu seberat 3.1 kilogram (kg) pada 28 Ogos lalu.
Wanita terbabit difahamkan tiba dari Delhi dengan dadah tersebut dan transit di KLIA sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching, Sarawak.
Dadah tersebut telah dijumpai dalam beg pakaian yang diubahsuai dan hasil rampasan dadah dianggarkan bernilai RM620,000.
Suspek kini masih ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihak polis sedang giat mengesan ahli-ahli sindiket yang terlibat.