Menyambut ulang tahun ke-30 penubuhannya baru-baru ini, Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) ternyata ada aura dan peranan tersendiri dalam membantu pasukan keselamatan itu mencapai visi dan misi yang ditetapkan.
Bermula dengan skala yang cukup kecil pada 22 Ogos 1984 iaitu dengan kekuatan seorang pegawai dan lapan anggota serta berbekalkan lapan ekor kuda, namun atas faktor kehendak semasa, unit ini dikembangkan dengan perjawatan baharu pada Februari 2003.
Melalui perjawatan baharu itu, unit berkuda telah menerima seramai 118 pegawai dan anggota yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah berpangkat Deputi Superitendan Polis (DSP). Jumlah kuda yang dimiliki pula adalah sebanyak 74 ekor.
Pegawai Pemerintah Unit Berkuda, DSP Nor Fauzi Ismail berkata, mentadbir unit tersebut disifatkan begitu istimewa kerana beliau bukan hanya perlu bijak dalam pengurusan manusia malah memerlukan pengetahuan membabitkan pengurusan haiwan berkenaan.
"Sejak saya mengetuai unit ini pada 2007, perkara paling penting sekali pada saya adalah menentukan keselamatan orang ramai semasa anggota-anggota membawa kuda-kuda ini keluar melakukan tugas di luar.
"Alhamdulillah, setakat ini kami belum pernah mengalami situasi yang sukar dikawal. Disebabkan itu, kami di Unit Berkuda sentiasa mematuhi latihan yang perlu diberikan kepada kuda-kuda ini agar kesemuanya dididik menjadi haiwan yang tidak agresif dan senang untuk melakukan apa juga tugasan.
"Kuda juga mempunyai sifat seperti manusia, adakala beremosi. Walaupun jumlah kuda yang kita ada dianggap mencukupi, namun bukan semua boleh di bawa keluar melakukan tugas-tugas," ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia