Kuantan, 6 November- Polis Pahang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran pil kuda di negeri itu berikutan penahanan seorang lelaki disyaki dalang kegiatan itu di hadapan sebuah restoran di Jalan Air Putih di sini, malam kelmarin.
Berikutan penahanan lelaki berusia 34 tahun berasal dari Terengganu itu, polis berjaya merampas 15,500 biji pil kuda anggaran berat 171 kilogram dan 152 gram syabu dengan nilai keseluruhan kira-kira RM503,124.
Ketua Polis Pahang Senior DCP Datuk Seri Sharifuddin Abd Ghani berkata, pihaknya juga turut merampas wang tunai RM3,075 disyaki wang hasil jualan dadah daripada suspek.
"Kejayaan ini hasil maklumat awam dan risikan pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang melalui Ops Indra 2014 yang dijalankan.
"Suspek kini ditahan reman sehingga Isnin depan di lokap IPD Kuantan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sumber: Sinar Harian