Menu

DUA LELAKI DITAHAN KERANA PECAH MASUK VILLA

Kuantan, 17 Nov - Polis berjaya menahan dua daripada tiga lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah villa di Perkampungan Tok Sira, di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata kedua-dua suspek berusia 20an itu berjaya ditahan kira-kira jam 3 petang tadi di Jalan Teluk Sisek di sini selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.

"Dua suspek berkenaan bersama seorang rakan yang masih bebas dipercayai memecah masuk kediaman mewah itu antara jam 8 hingga 9 pagi semalam dan melarikan lapan unit penghawa dingin.

"Menurut pengadu, 50an, beliau telah datang ke kediaman tersebut kira-kira jam 11.30 pagi pada Khamis lepas untuk memeriksa kerosakan kerana ada individu berminat untuk menyewanya dan ketika itu semuanya berada dalam keadaan baik.

"Bagaimanapun kira-kira jam 9.30 pagi semalam, ketika berada di Maran dia mendapat panggilan daripada pekerja villa, memaklumkan rumah tersebut dipecah masuk sebelum membuat laporan polis," katanya di sini hari ini.

ACP Abdul Aziz berkata, berdasarkan maklumat, ada saksi ternampak sebuah kereta jenis Perodua Kelisa berwarna kelabu dinaiki tiga lelaki memasuki perkarangan kediaman itu pagi semalam.

Katanya, hasil semakan rekod nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita beralamat di Indera Mahkota di sini.

Susulan itu polis berjaya mengesan serta menahan dua daripada suspek manakala dua unit pendingin hawa yang dilaporkan hilang turut ditemui.

"Polis kini sedang mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS