Menu

GENG MARKISAH DITAHAN, PELBAGAI BARANG CURI DIRAMPAS

Balik Pulau, 25 Nov - Polis menahan dua beradik dan sepasang kekasih anggota Geng Markisah dan merampas pelbagai barangan curi termasuk kereta serta komponen motosikal bernilai RM200,000 dalam serbuan di Bukit Mertajam pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Siti Norsalawati Saad berkata serbuan dilakukan di sebuah rumah di Taman Markisah.

"Kami menerima satu laporan polis berhubung kejadian curi yang berlaku di Lebuh Mahsuri, Sungai Nibong Kecil dekat sini dan hasil risikan, kami berjaya mengesan geng berkenaan sebelum menahan mereka.

"Siasatan awal mendapati mereka aktif menjalankan aktiviti pecah rumah, curi kereta, curi motosikal dan samun sekitar Perak, Kedah serta Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata ekoran penahanan itu, polis menemui semula tujuh buah kereta pelbagai model di beberapa lokasi yang sebelum ini dilaporkan hilang di Kedah dan Pulau Pinang.

Siti Norsalawati berkata barangan lain yang ditemui ialah rangka dan komponen motosikal, telefon bimbit, komputer riba, kamera, barangan kemas dan pelbagai peralatan elektrik.

Beberapa lagi anggota geng itu telah dikenal pasti dan sedang dikesan, katanya dan menambah kesemua yang ditahan positif dadah dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau juga berkaitan dadah.-BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS