Oleh : Kpl Edwind Indo
Kuala Lumpur, 8 Dis – Empat cubaan seludup dadah berjaya dipatahkan dalam tempoh tiga hari hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Naikotik (STING) dalam usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, YDH DIG Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim berkata hasil serbuan polis di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 129.98 kg; 119.4 kg ganja dan 10.58 kg syabu yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
“Kesemua kes membabitkan tangkapan sembilan individu yang terdiri daripada tiga rakyat tempatan, tiga warga Nigeria, dua warga Iran dan seorang rakyat Thailand.
“Tangkapan pertama terhadap tiga lelaki Nigeria dilakukan di sekitar Taman Sri Mentari, Petaling Jaya, Khamis lalu.
"Polis berjaya merampas dadah jenis syabu yang disorokkan di dalam peralatan adapter dan mesin pengira wang yang diterima dari wilayah Yuexiu di China menggunakan syarikat perkhidmatan kurier," katanya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di Dewan Theaterette Bukit Aman petang tadi.
"Selain itu, polis turut menemui sebuah bagasi yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 3.4 kg di pejabat bagasi tidak dituntut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Dadah telah disorokkan dalam ruangan bagasi yang telah diubah suai sebelum dihantar ke Kuala Lumpur dari Doha, Qatar," terang beliau lagi.
"Pihak polis sekali lagi berjaya menemui dan merampas dadah jenis syabu seberat 6.16kg yang disorokkan di ruangan khas bagasi selepas penahanan pasangan individu warga Iran yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tuntutan bagasi balai ketibaan," jelas Dato’ Sri Noor Rashid lagi.
Kejayaan JSJN terus terlakar selepas pihak polis bersama pasukan STING melancarkan satu operasi di sekitar Pulau Pinang dan Kedah malam Sabtu lalu dan menahan tiga rakyat tempatan dan seorang rakyat Thailand bersama 119 ketulan ganja mampat yang dianggarkan seberat 119.4kg.
“Dalam operasi itu juga, pihak polis turut menyita dua buah kereta, dua buah motosikal berkuasa tinggi serta wang tunai berjumlah RM7 ribu dan 420 bhat Thailand,” katanya sebelum menutup sidang media.
Kesemua tangkapan berumur di antara 19 hingga 58 tahun itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Merbahaya 1952.

Antara 119 ketulan ganja mampat yang dirampas oleh pihak polis

Antara dadah jenis syabu yang disorokkan di dalam peralatan adapter dan mesin pengira wang yang diterima dari wilayah Yuexiu di China menggunakan syarikat perkhidmatan kurier

Sebuah bagasi yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 3.4 kg di pejabat bagasi tidak dituntut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang ditemui pihak polis

Timbalan Ketua Polis Negara, YDH DIG Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim semasa sidang media

Bersama tiga ahli Pasukan Khas Taktikal Perisikan Naikotik (STING)

Pegawai penyiasat menerangkan cara penyeludup menyembunyikan dadah di dalam satu ruangan khas pada bagasi

Pegawai penyiasat menerangkan cara penyeludup memasukkan dadah ke ruangan peralatan adapter dan mesin pengira wang yang diterima dari wilayah Yuexiu di China

Timbalan Ketua Polis Negara, YDH DIG Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim menunjukkan kejayaan polis merampas 119 dadah jenis ganja yang dirampas semasa operasi bersama STING