JSJK SABAH RAMPAS LEBIH 70,000 DVD TIADA SIJIL PERAKUAN
JSJK SABAH RAMPAS LEBIH 70,000 DVD TIADA SIJIL PERAKUAN
Kota Kinabalu, 11 Dis - Sejumlah 76,954 keping cakera video digital (DVD) pelbagai filem yang tidak mempunyai Sijil Perakuan B bernilai RM380,000 dirampas dalam tiga serbuan di lokasi berasingan sempena 'Ops Ostrich', Jumaat lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah DSP Mohd Mahyuddin Abdullah berkata polis menahan sembilan pekerja premis berumur antara 16 dan 39 tahun dalam serbuan bermula pada 3.30 petang itu.
"Serbuan juga dijalankan di sebuah rumah yang dijadikan stor dan di pusat membeli belah merampas pelbagai barangan untuk menghasilkan DVD," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata antara barangan rampasan termasuk 198,000 keping cekera kosong; 80 botol dakwat pencetak (pelbagai warna); 170,000 kertas putih DVD yang belum dicetak; 34,500 keping plastik bungkusan DVD; 46 keping pelekat bertulis CPCM25G biru, dua buah perakam dan dua penyesuai bersama wayar serta fail invois.
Menurutnya, kesemua tahanan direman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan. - BERNAMA